MANGSA KEBAKARAN SYUKUR TERIMA BANTUAN SEGERA DARI SULTAN JOHOR
Lima keluarga di Kampung Tenggayun, Pontian yang kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran pagi semalam, menerima bantuan segera daripada DYMM Sultan Johor.
Sumbangan peribadi daripada Baginda Tuanku Sultan beserta bantuan keperluan makanan kepada keluarga terjejas disampaikan Yang Berhormat Mejar Cina Dato’ David Wong dengan diiringi Pengerusi Persatuan Kebajikan Prihatin Daerah Pontian, Datuk Ng Sea Bu pada hari ini (24 September).
Dato’ David Wong berkata, DYMM Sultan Johor menitahkan beliau dengan segera membantu mangsa-mangsa kebakaran bagi meringankan beban mereka yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian itu.
“Baginda semangnya prihatin kepada rakyatnya yang ditimpa musibah, bantuan akan terus dihulurkan tanpa mengira kaum atau agama,” kata Dato’ David Wong kepada Royal Press Office (RPO).
Sementara itu, mangsa kebakaran, Ely Syuhada Yunus, 45, menjunjung kasih di atas bantuan yang dikurniakan oleh Baginda Tuanku Sultan.
“Tiada apa yang dapat kami selamatkan semasa kejadian. Bantuan daripada Baginda Tuanku Sultan sememangnya membantu kami untuk meneruskan kehidupan untuk waktu terdekat” katanya.
#sultanjohor
#royalpressoffice
#johor